Tuesday 4 September 2012

ABSTRAK KAJIAN 2012


Profesionalisme Pensyarah IPG dari perspektif pelajar dan rakan pensyarah
Oleh:
Badrul Hisham Alang Osman (Ph.D)
Rosli Sahat (Ph.D)



Abstrak

Kertas kajian ini bertujuan untuk mengkaji  profesionalisme pensyarah dari pelbagai aspek terutama pengajaran dan pembelajaran serta tanggungjawab kerja Pensyarah di Institut Pendidikan Guru (IPG). Kajian ini dapat membantu untuk mengenalpasti kekuatan dan kelemahan pensyarah dalam melaksanakan tugas. Kajian ini cuba menjawab terhadap beberapa persoalan berikut iaitu Bagaimanakah profesionalisme pensyarah dalam pengajaran dan pembelajaran  di IPG? Bagaimanakah tanggungjawab kerja pensyarah di IPG? Apakah kekuatan dan kelemahan dalam melaksanakan tugas di IPG? Kajian ini juga dijalankan untuk mendapatkan beberapa cadangan penambahbaikan daripada perspektif pelajar dan pensyarah di IPG.  Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif iaitu menggunakan kaedah Focus Group Discussion (FGD), pemerhatian dan analisis dokumen. Temubual individu melibatkan lima orang pensyarah. FGD melibatkan sepuluh orang pelajar IPG Kampus Ipoh. Dari segi pemerhatian, senarai semak disediakan. Analisis dokumen melihat kepada portfolio pensyarah.  Hasil analisis dikategorikan kepada kepakaran subjek pengajaran, kemahiran pedagogi, pengajaran berpusatkan pelajar dan tanggungjawab kerja dalam kalangan pensyarah IPG. Hasil dapatan menunjukkan pensyarah IPG mempunyai kepakaran subjek yang diajar. Pensyarah mempunyai kemampuan menggunakan pelbagai kaedah pengajaran sama ada kemahiran pedagogi dan andragogi.  Pensyarah berjaya menggunakan pendekatan berpusatkan pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran. Tanggungjawab kerja pensyarah dari segi jadual waktu, peningkatan profesionalisme (LPS), bimbingan terhadap pelajar dan penyeliaan latihan mengajar. Walaubagaimanapun beberapa pertimbangan yang perlu diambilkira  untuk memperbaiki keupayaan pensyarah dari segi persediaan mengajar dan kaedah penyampaian supaya lebih berkesan. Pensyarah bukan hanya mengajar di dalam kelas tetapi melaksanakan pelbagai tanggungjawab di luar bilik darjah.
Kata Kunci : Profesionalisme, Tanggungjawab Kerja, Pedagogi dan  Andragogi, Kepakaran subjek 
        dan FGD